Jabatan Forensik

PENGENALAN

Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dahulunya dikenali sebagai Unit Forensik sehinggalah berpisah secara rasmi dengan Jabatan Patologi pada tahun 2004.Jabatan ini berfungsi dalam memberikan perkhidmatan berkaitan dengan kematian yang melibatkan pelanggan dalaman dan luaran.Selain itu, Jabatan Perubatan Forensik juga memainkan peranan penting dalam memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada penuntut institusi-institusi pengajian tinggi di sekitar Negeri Selangor dalam bidang perubatan forensik dan juga menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan khidmat nasihat Pakar Perunding Perubatan Forensik bagi kes-kes medikolegal. Pelanggan jabatan ini terdiri daripada jabatan/unit/wad di HTAR serta hospital kerajaan lain, hospital swasta, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah, orang awam dan lain-lain pihak yang berkenaan dan berurusan dengan jabatan ini secara langsung atau tidak langsung.

 

VISI

Memberikan perkhidmatan perubatan forensik dan perundingan yang tepat dan cekap berlandaskan sistem pengurusan yang berkualiti dan memenuhi kepuasan pelanggan.

 

MISI

Menyediakan perkhidmatan perubatan forensik yang cemerlang dengan menggunakan kepakaran dan teknologi terkini serta anggota yang berilmu, berjiwa murni dan peka terhadap keperluan pelanggan dan berteraskan budaya kualiti kerja berpasukan dan profesionalisma.

 

PIAGAM PELANGGAN

  • Memberi perkhidmatan kaunter 24 jam

  • Menerima dan mengurus penyerahan mayat (bukan medikolegal) kepada waris terdekat kurang dari 3 jam selepas didaftarkan di Jabatan Perubatan Forensik HTAR Klang

  • Melakukan prosedur bedah siasat kurang dari 48 jam setelah Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat (POL. 61) dikeluarkan oleh pihak polis

  • Menyediakan laporan bedah siasat dalam tempoh kurang dari 12 minggu daripada tarikh bedah siasat dilakukan kecuali kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut.

 

OBJEKTIF JABATAN

  • Memberi perkhidmatan perubatan forensik yang berkualiti, cekap, tepat, dan adil.

  • Memberi latihan kepada semua kakitangan secara berterusan 

  • Menyampaikan keperluan prosedur dan pemeriksaan bedah siasat kepada waris/orang awam

 

AKTIVITI UTAMA

Lapan (8) perkhidmatan utama disediakan adalah seperti berikut:

  • Pendaftaran dan penerimaan kes kematian dalam dan luar hospital

  • Penyerahan mayat/jenazah kepada waris.

  • Pemeriksaan bedah siasat mayat – Medikolegal dan Klinikal.

  • Penyimpanan jasad/mayat, janin, dan anggota badan di dalam peti sejuk sebelum dituntut atau diserahkan kepada waris.

  • Pengendalian dan pengurusan mayat yang tidak dituntut mengikut garis panduan yang ditetapkan.

  • Penyediaan laporan lengkap bedah siasat .

  • Perkhidmatan bantuan rundingcara medikolegal atau berkaitan dengan perkhidmatan perubatan forensik.

  • Memberi latihan, kursus, bimbingan dan pendidikan serta pendedahan kepada anggota-anggota perubatan dan pelajar IPTA / IPTS berkenaan dengan bidang forensik.

LOKASI

Jabatan Perubatan Forensik merupakan sebuah bangunan setingkat yang berasingan dengan bangunan utama hospital yang terletak di bahagian belakang penjuru kiri kawasan HTAR dan bersebelahan dengan stor farmasi dan bangunan Radicare.

 

WAKTU OPERASI

Perkhidmatan kaunter dibuka 24 jam bagi urusan penerimaan dan penyerahan mayat/jenazah (bagi kes-kes biasa)

 

MAKLUMAT PERHUBUNGAN

 No. Telefon : 03-33757000

 Kaunter : Sambungan 1306

 No. Faks : 03-33716215