Jabatan Oftalmologi

PENGENALAN

Jabatan Oftalmologi memberi rawatan mata untuk penduduk di Daerah Klang dan daerah-daerah di sekitarnya. Jabatan ini juga berfungsi sebagai pusat rujukan untuk hospital-hospital daerah, pusat kesihatan dan dari klinik swasta dalam Negeri Selangor Darul Ehsan.

Perkembangan pesat pembangunan dan kawasan perumahan di sekitar Daerah Klang memberi impak dengan penambahan beban kerja bagi Jabatan Oftalmologi, khasnya kes-kes trauma. Penambahan beban kerja tanpa penambahan pada jumlah katil menyebabkan peningkatan pada peratus penggunaan katil sehari.

Walau bagaimanapun Jabatan ini secara amnya berusaha mempertingkatkan kualiti perawatan dengan perubahan pada proses-proses kerja untuk mencapai output yang optima dan bermutu.

 

MISI

Berusaha untuk menjadi sebuah institusi jabatan oftalmologi yang unggul di rantau ini.

 

VISI

Menyediakan perkhidmatan oftalmologi yang cemerlang dengan penggunaan teknologi terkini bagi memenuhi kehendak semasa.

 

OBJEKTIF

Mempertingkatkan rawatan pesakit yang berkualiti melalui perkhidmatan diagnostik rawatan dan pemulihan awal yang cekap dan berkesan.

 

UNIT - UNIT DI BAWAH JABATAN

Klinik Mata

Wad Mata 

 

PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN

  • Rawatan Pesakit Luar

Rawatan pesakit luar mata dikendalikan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala bagi kes – kes pre – operative assessment diberi temujanji pada hari Selasa dan Khamis. Bagi kes ulangan temujanji diberi mengikut ‘staggered appointment’ pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat

  • Rawatan Kecemasan Mata

Rawatan kecemasan pesakit mata diberikan setiap hari bekerja di klinik mata dimana seorang pegawai perubatan mata atas panggilan ditempatkan di sana. Pesakit yang membawa surat rujukan atau pesakit mata yang tidak mempunyai temujanji yang memerlukan rawatan segera akan dilihat secara terus oleh pegawai perubatan mata.

  • Rawatan Pesakit Dalam

Dikendalikan di Wad Mata di Komplek Rawatan Harian di mana pesakit dimasukkan untuk pembedahan dan rawatan selanjutnya.

  • Rawatan Pembedahan

Rawatan pembedahan dilakukan secara elektif ataupun kecemasan mengikut jenis-jenis masalah mata. Ia juga boleh dilakukan secara bius setempat dan bius am. Pakar akan berbincang dengan pesakit berkenaan rawatan pembedahan yang terbaik untuk pesakit.

Pesakit yang berhak membuat keputusan akhir mengenai pembedahan yang akan dijalankan mengikut nasihat doktor. Pembedahan elektif diadakan dua kali seminggu iaitu setiap hari Selasa dan Khamis setiap minggu. Pembedahan elektif boleh dipilih untuk dijalankan secara rawatan pesakit dalaman atau rawatan harian (daycare).

  • Rawatan Laser

Jenis – jenis rawatan laser yang terdapat di jabatan ini adalah Focal, Grid, Pan Retina Photocoagulation (PRP), Laser PI dan YAG laser.

  • Kes-kes Rujukan

Semua kes mata yang dirujuk ke HTAR, Klang pada waktu pejabat akan dikendali oleh klinik kecemasan Oftalmologi. Kes-kes yang dirujuk dari jabatan atau unit lain, klinik-klinik kesihatan, klinik swasta akan diteliti dan diberi rawatan atau temujanji mengikut keseriusan penyakit yang dihidapi pesakit.

Pesakit yang hendak dirujuk perlu dibincang terlebih dahulu dengan pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan.

Bagi pesakit yang tidak serius contohnya seperti katarak, temujanji boleh diperolehi atau diambil dengan petugas di kaunter klinik mata.

Jika tidak pasti sama ada pesakit perlu rawatan segera atau tidak anda boleh berbincang dengan pegawai perubatan yang bertugas di atas panggilan.

  • Klinik Pakar Oftalmologi
  • Pakar Glaukoma
  • Pakar Okuloplastik
  • Pakar Retina
  • Pakar Paediatrik
  • Klinik Optometri

Perkhidmatan yang disediakan seperti refraksi , ujian rabun warna, ujian medan penglihatan, penglihatan terhad, ujian Hess, kanta sentuh dan lain-lain lagi.

LOKASI

Tingkat 1, Bangunan Rawatan Harian (ACC)