Sejarah

Hospital Daerah Klang telah dibina pada tahun 1890an di atas sebuah anak bukit berhampiran dengan bangunan-bangunan kerajaan dan perdagangan. Pegawai Perubatan (District Surgeon to the Coast District) pertama yang bertanggungjawab ke atas hospital ini ialah Dr.Watson diikuti oleh Dr. Reid (16/1/1908 hingga 25/3/1908) dan seterusnya Dr. Gerrard dan Dr. Millard. Mulai 1 Januari 1976, hospital ini telah dinaiktarafkan kepada Hospital Besar Klang dan diketuai oleh seorang Penguasa Perubatan

Mengikut perangkaan pada tahun 1901, sebanyak 2789 pesakit luar dan 1822 pesakit dalam telah dirawat di hospital ini. Pada masa itu kes-kes Cirit Birit, Penyakit Pernafasan dan Penyakit Kanak-kanak adalah kes-kes utama dirawat di hospital ini.

Oleh kerana keuzuran bangunan hospital asal dan keperluan menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah serta untuk memperkenalkan perkhidmatan yang baru, maka sebuah hospital yang baru telah dibina di atas kawasan seluas 25.5 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM68.5 juta. Pembinaan peringkat pertama bermula pada 1 Jun 1979 dengan kerja-kerja menanam cerucuk. Kerja-kerja peringkat kedua bermula pada 27 Oktober 1981 dan siap pada bulan Februari 1985. Hospital ini dinamakan Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan pembukaannya dirasmikan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj pada 2 September 1985. Bangunan hospital setinggi 9 tingkat ini terletak 3km dari pusat bandar Klang. Nama ini kemudiannya telah diubah kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 1993. Menteri Kesihatan pada masa itu ialah Dato' Chin Hon Ngian.

Pemindahan pesakit-pesakit ke hospital ini bermula pada April 1985. Semenjak 1 Mei 1985, semua perkhidmatan perubatan diuruskan di hospital ini kecuali perkhidmatan untuk pesakit Tibi dan Psikiatri yang terletak di tapak hospital lama. Pada permulaannya ia mempunyai 27 Wad dan 750 katil dan kini telah bertambah menjadi 29 Wad dan 831 katil. Hospital ini kini diketuai oleh Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah (Perubatan) dan Timbalan Pengarah (Pengurusan).

Hospital ini memberi kemudahan kepada penduduk seramai lebih kurang 409,994 orang (perangkaan Jabatan Perangkaan Negara tahun 1991) khususnya kepadapenduduk di bandar Klang, kawasan pedalaman(estet-estet dan kampung-kampung), perusahaan, lapangan terbang dan pulau-pulau berhampiran. Hospital ini juga memberi perkhidmatan kepakaran kepada kes-kes yang dirujuk daripada Hospital Banting, Tanjung Karang dan Sabak Bernam dan juga Klinik-klinik Swasta & Pusat-pusat Perubatan Swasta.